-->

Tuesday, December 6, 2011

Cerpen: Sudah Masanya...

Bismillahirrahmanirrahim...

DIA meletakkan buku-buku yang dipilihnya tadi di atas meja panjang itu. Perpustakaan itu memang senyap. Semua tekun membaca buku. Earphone diambil lalu dipasang di telinga. Kerusi itu ditarik perlahan, senyap. Tidak mahu menganggu orang lain.
            Buku rujukan Biology dipilih dahulu. Lagu Westlife - Uptown Girl mula berkumandang di telinga. Kepalanya digoyang mengikut rentak lagu tersebut. Buku Biology yang berada di hadapannya itu dipandang. ‘Bosan pulak nak baca sorang-sorang ni,’ getus hatinya. Telefon bimbit Corby II diambil dari dalam kocek lalu tekun menaip sesuatu. Selesai.
            Dia menyelak buku rujukan itu sekadar melihat sekali imbas. Mencari isi-isi penting. Mana tahu kalau-kalau keluar dalam kertas, dapat jugak dia jawab. Lama juga dia menyelak buku itu. Dapatlah sikit-sikit isi penting.
            “Aida.”
            Aida segera menalakan matanya pada empunya suara. “Fiya, datang pun kau!” Semua mata memandang Aida. Aida tersengih lalu mengangkat tangan sebagai tanda minta maaf.
            “Senyap sikitlah… Orang nak baca pun tak senang,” Fiya mula mengomel. Aida hanya tersengih.
            “Belajar jom!” Aida menalakan matanya pada Fiya yang kini sudah duduk di hadapannya. Fiya mengangguk tanda setuju. Dia membuka beg lalu mengeluarkan buku latihan.
            “Kau bawa tu je?” suara Aida perlahan tapi agak menekan. Fiya dengan muka selamba hanya mengangguk. Aida tersenyum lalu menggeleng.
            “Pukul…” Aida melihat jam tangannya, “… dua nanti kita keluar. Temankan aku pergi beli barang sikit. Boleh?” Fiya menjeling rakannya itu. Dia mengangguk.        “Okay.”

“KAU dah sedia belum exam Bio ni?” Fiya yang sedang leka membelek-belek novel terus memandang Aida yang sudah berdekatan dengannya.
            “Kau dah siap cari barang kau ke?” dia menghiraukan soalan Aida. Aida hanya menunjuk kertas glossy yang berada di tangannya.
            “Itu je?” Fiya bertanya. Aida hanya mengangguk.
            “Aku bayar dulu. Lepas tu kita pergi makan? Aku lapar…”
            “MAN… JA!”
            Aida berlalu pergi ke kaunter bayaran. Fiya menggeleng. ‘Apa-apa jelah kawan aku seorang ni,’ getus hatinya.

PREMIS KFC itu hingar bingar dengan orang ramai yang makan dan juga berbual tidak ingat dunia. Kalau boleh, satu premis itu boleh didengari apa yang diperkatakan mereka. Fiya sudah duduk pada satu-satu tempat yang masih kosong. Aida membeli makanan.
            “Errr… tadi kami dah ambil tempat duduk ni.” Fiya yang sedang melayani perasaannya itu tersentak. Lelaki di hadapannya dipandang. Ada sekali seorang perempuan bersebelahannya. Fiya menggeleng tanda tidak puas hati.
            “Maaf? Saya dah dapat tempat ni dari tadi.”
            Lelaki itu seperti tidak puas hati. “Apa pulak? Kami dah dapat tempat duduk ni dari tadi. Tadi kami beli makanan sekejap.”
            Nampak sangat kepala mereng! “Okay, saya nak tanya. Sekarang ni siapa yang salah? Kalau awak suruh AWEK awak tu duduk sini tadi, dah bagus. Saya dapat tempat duduk ni pun sebab tempat ni kosong.” Fiya mempertahankan dirinya. Perempuan sebelah lelaki itu kelihatan amat meluat dengan perangai Fiya. ‘Gedik!’ getus hatinya.
            “Jom sayang. Kita pergi cari tempat lain.” Mereka berlalu meninggalkan Fiya.
            “Kenapa? Apsal mamat dengan minah tu?” Aida tiba-tiba sergah dari belakang.
            Fiya menjeling rakannya yang berada di sebelah sambil menatang dulang KFC itu. “Tak adalah. Ada ke dia suruh aku blah dari sini. Dia cakap ni tempat dia.”
            Aida ketawa terkekeh-kekeh. “Apa je. Tak gentle langsung. Depan awek, gaduh pasal tempat duduk.”
            “Tau pun kau!”
            “Baru pukul 3 lebih ni. Nak pergi mana lagi?” Aida bertanya sambil mencuit sedikit ayam.
            Fiya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
            “Tengok wayang, nak? Exam kan next week, so, cuti ni, kita release tension tengok wayang jom!”
            Fiya mengangkat muka. “Okay jugak tu. Dah lama aku tak tengok wayang.” Aida hanya tersengih kegembiraan.

SUDAH! Mamat ni ada dekat sebelah pulak. Fiya dah bengang. Mamat tu buat bodoh tak tahu saja. Sabar…

* * *
PEPERIKSAAN sudah tamat! “Yeah! Bye bye Form 4! Hey, Form 5! Wait for us.” Aida menjerit ke arah tasik yang terbentang luas itu. Selepas waktu persekolahan, mereka terus ke tasik tersebut untuk melepaskan tekanan peperiksaan.
            Fiya yang duduk di bawah pokok itu hanya mampu menggeleng. ‘Kawan aku sorang ni la, kalau orang lain nampak tak malu ke?’ getus hatinya.
            “Fiya, jom la jerit sekali dengan aku. Oooooooo!” Aida menjerit lagi.
            “Woi! Tak malu ke apa?” Aida hanya tersengih. Dia datang mendekati Fiya lalu duduk sebelahnya.
            “Esok kau datang sekolah tak?” Aida tiba-tiba bertanya. Fiya menggeleng.
            “Pergi jalan-jalan jom?”
            “Aku penat.”
            “Alaaaa…” Aida buat muka merajuk, “jom la…”
            “Malas,” sepatah dia jawab.
            Aida terdiam. Kalau Fiya cakap tak nak, tak nak la jawapannya.
            “Yelah, esok jalan. Tapi jalan je.”
            “YEAHH!” Aida mula menjerit. Fiya tersenyum.
* * *
MEREKA duduk di kerusi yang disediakan di pusat membeli-belah itu sambil melihat gelagat manusia yang berbagai. Yang berjalan dengan kawan, yang berjalan dengan kekasih – seperti sudah bertahun berkahwin. Dia hanya mampu menggeleng. Dunia sekarang. Tiada segan silu lagi dah.
            “Kau tenung apa?” Aida yang sedang makan Pappa Roti bertanya. Fiya hanya menggeleng.
            “Fiya…” Fiya buat tak tahu. “Fiya!”
            “Ya…” dia menoleh rakannya yang berada di sebelah.
            “Aku macam kenal la mamat tu,” kalau boleh, memang macam itik pun ada juga muncung Aida itu. Nak tunjuk pun guna mulut.
            “Mana?” Fiya mencari-cari. Masih tak jumpa.
            “Itulah. Dengan pakaian office tu.” Aida kini menunjuk lelaki itu dengan menggunakan jarinya. Fiya melihat lelaki itu.
            “Oh, mamat tak tahu malu tu.”
            “OMO! Apa kes dia pergi sini?” Aida dah memukul-mukul badan Fiya.
            “Sakit la!”
            “Hye…”

“KORANG tak sekolah ke?” premis McDonald itu tidak ramai orang. Mungkin hari ini hari bekerja. Fiya dan Aida hanya menggeleng.
            “Tak. Exam dah habis.” Aida memberi respon. Selepas sahaja mereka berjumpa tadi, lelaki tersebut mengajak mereka makan. Sempat juga dia meminta maaf dengan Fiya tentang peristiwa hari itu. Fiya pun tak pernah jumpa lelaki yang sanggup minta maaf sebab perkara kecil saja.
            “Oh, patutlah… Kalau dah ponteng sekolah tu, kan bagus duduk rumah. Ni kalau polis tahan korang sebab ponteng sekolah, macam mana?” lelaki tersebut ketawa.
            Fida dan Aida merenung sesama sendiri. Betul juga cakap abang ni. Mereka kini menalakan mata ke arah lelaki itu lalu tersengih. “Abang, nama abang apa ek?”
            “Irfan.”
            “Oh…” panjang ‘oh’ Aida. “Abang tak kerja ke? Ni dah smart pakai baju office segala.” Hanya Aida sahaja yang bertanya macam-macam pada Irfan. Fiya hanya mendiamkan diri.
            “Abang baru balik interview tadi.”
            “Waaa. Kerja apa?”
            “Adalah… menyibuk je nak tau.” Irfan hanya menggeleng lalu ketawa.
            “Aida, balik jom,” bisik Fiya. Aida yang menyedut minuman itu hampir tersedak. Fiya hanya membeliakkan mata sebagai amaran. Dia sebenarnya tidak selesa dengan kehadiran Irfan. Rasa tak selesa. TAK SELESA!
            “Okay. Bang, kita orang balik dulu eh?”
            “Balik dah?” Mereka terus mengangguk. “Okay.”
            Kali ini Fiya bersuara. “Terima kasih belanja.” Mereka terus berlalu pergi.
            “Bye!” Irfan hanya tersenyum. Budak-budak sekarang… Eleh, macamlah aku ni bukan budak sekarang.

* * *
“KAU tak kerja hari ni?” ibu datang dari dapur sambil menatang dulang beserta air dan biskut.
            “Hari ni dapat cuti,” sepatah sahaja dia menjawab.
            “Ibu nak tanya sikit ni.” Ibu kelihatan agak mengah. Sudah tua, kudrat pun tak sekuat dulu lagi. Irfan itu sahajalah anaknya. Satu-satunya permata dia dan suaminya. Irfan hanya mengerutkan dahinya.
            “Kau tu dah lama kawan dengan Mia. Bila korang nak kahwin?” Irfan terbisu sebentar. “Tak adalah. Ibu risau tengok korang ni lama-lama, tiada perikatan. Nanti apa orang kata kalau korang ni berkepit macam orang dah kahwin. Kita ni tak boleh tutup mulut orang, Fan.”
            “Ibu, Fan pun baru je bekerja. Nak kahwin tu lama lagi agaknya,” hanya itu sahaja yang mampu dia katakan. Bukannya apa, dia merasakan dirinya muda lagi untuk pegang tanggungjawab sebagai suami.
            “Lama lagi? Kamu tu dah 22. Kahwin jelah.”
            “Ibu, 22 tu muda lagi la untuk kahwin,” ada sahaja jawapannya.
            “Kamu tahu, zaman ibu dulu, 22 tu kira dah kahwin lambat, tahu?”
            “Itu dulu, ini sekarang.” Ibu hanya mampu menggeleng. Ada sahaja jawapannya keluar daripada mulut. Irfan terus menonton televisyen. Dulu suruh bekerja, sekarang suruh kahwin. “Lambat lagi kot Irfan kahwin…” dan itulah jawapannya yang terakhir.

* * *
“MAKAN atau bungkus?”
            Fiya tersenyum. “Makan. X-Meal regular 2 set.”
            “Air?”
            “Pepsi.”
            Dia memberi not RM 20. Irfan memulangkan baki. “Tunggu, ya? Nanti ada orang hantar.” Fiya hanya mengangguk lalu mengambil nombor yang telah disediakan.
            Aida sudah duduk. “Wah, abang Irfan kerja sini rupanya. Mati-mati aku ingat kerja office.” Fiya hanya diam. “Mana burger-nya?”
            “Kejap lagi sampai la. Sabar sikit Aida ooi…” Aida hanya tersengih.
            “Okey…” panjang ‘okey’ nya.
            Seorang pekerja KFC wanita datang menatang dulang beserta burger X-Meal regular. Dia meletakkannya dengan berhati-hati di atas meja tersebut. Fiya dan Aida hanya memandang. “Terima kasih, kak.”
            Kakak itu hanya tersenyum lalu mengambil nombor yang telah diberikan kepada Fiya. “Makan…”
            “Sedap?”
            “Abang ni, buat orang terkejut je,” Aida sudah tersedak. Fiya hampir nak ketawa.
            “Abang tak ada kerja ke? Datang sini pulak tu.” Fiya bertanya.
            Irfan hanya menggeleng. “Tak ramai orang. So, abang jumpa la korang sekejap.” Aida dan Fiya hanya mengangguk. “Ini nak jalan mana lagi ni?”
            “Wayang…” Aida memberi respon.
            “Movie?
            “Paranormal…” Fiya pula memberi respon.
            “Okay. Movie tu seram, tau? Uuuuuu…” Irfan saja menakutkan mereka lalu meninggalkan mereka. Budak berdua itu buat tak tahu saja. “Bye.”
            “Bye!” dua-dua beri respon.

“ABANG Irfan tu baik, kan?” Aida bertanya. Filem Paranormal Activity 3 yang sedang ditayangkan itu dibuat tidak peduli.
            Fiya menoleh rakannya. “A’ah.”
            “Kau tak nak masuk line ke?” Aida dah tersengih macam kerang busuk.
            “Gila dah masuk kepala la tu. Orang nak tengok movie pun tak senang.” Fiya hanya menggeleng. Aida dari tadi tidak habis-habis tersengih.
            “Sayang la… Abang Irfan tu dah tua sangat, kita baru 16 tahun.”
            “Aida… kau ni. Abang Irfan tu pun kau terpikat. Dah, senyap! Aku nak layan movie ni.” Mereka terus senyap. Aida pun malas nak bercakap lagi.

* * *
AYAH tiba-tiba sesak nafas. Ibu pun baru sahaja menelefon abang untuk balik. Fiya dah risau. Harap-harap ayah tidak apa-apa.
            Kedengaran bunyi kereta memasuki laman rumah. Itu mesti abang. Fiya berlari mendapatkan abangnya. Kakak iparnya mendukung anaknya yang baru sahaja mencecah 1 tahun. “Abang, ayah tiba-tiba sesak nafas.” Abang hanya mengangguk, cemas. Dia terus memasuki rumah. Kakak iparnya meminta Fiya untuk mendukung anaknya.
            “Ibu, kita kena bawa ayah ke hospital.” Ibu hanya mampu mengangguk. Abang terus mengangkat ayah. Badan ayah tidaklah sebesar mana, kurus sahaja. Sudah lama ayah menghidap penyakit sesak nafas. Sudah banyak kali juga ayah mengalami sesak nafas seperti ini.
            Ayah terus dibaringkan di tempat duduk belakang kereta. “Ibu, ikut sekali. Sayang dengan Fiya tunggu dekat rumah.” Fiya dan kakak iparnya hanya mengangguk.
            “Sabar Fiya…” kakak iparnya menenangkannya.

FIYA semakin risau. Abangnya dan ibunya masih tidak telefon sejak dari tadi lagi. Kakak iparnya berada di dapur menyediakan minuman untuk mereka berdua. “Sabar Fiya. Kita doakan keselamatan ayah, ya?” Fiya hanya mengangguk.
            “Kakak dah sediakan air teh tu. Minum dulu. Akak nak jaga Fahmi. Tak pasal-pasal terjaga pulak.” Fiya mengangguk lagi. Lama dia termenung. Bagaimana dengan keadaan ayah sekarang?
            Telefon bimbit berbunyi. Cepat-cepat dia mencapai telefonnya. Panggilan daripada ibu. “Assalamualaikum. Ibu, macam mana dengan ayah?”
            “Waalaikumussalam. Alhamdulillah, ayah dah baik sikit. Tak payah risau. Esok pagi ayah dah boleh keluar hospital. Nanti abang kamu balik, dia tidur dekat rumah kita,” tenang ibu menjawab.
            “Alhamdulillah…”
            “Ibu nak jaga ayah dulu. Kamu baik-baik di rumah dengan Kak Linda.”
            “Baik, bu. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam.” Panggilan dimatikan.
            Kak Linda duduk di sebelahnya. “Macam mana dengan ayah?”
            Fiya tersenyum. “Alhamdulillah, ayah selamat.”
* * *
ADA tetamu datang. Fiya tolong masak air,” ibu mengarah. Fiya hanya mengangguk. Selepas ayah keluar hospital, rakan-rakan ayah ramai yang datang untuk melawat. Tambah-tambah lagi rakan sekerja. Dari dapur lagi Fiya sudah boleh dengar ibu menjemput masuk tetamu. Ayah tak dapat berjalan, doktor menyuruh ayah untuk berehat buat sementara waktu.
            Dia menyediakan air teh panas. Dia menjenguk ruang tamu untuk mengira tetamu. Satu, dua, gulp! Abang Irfan? Ahhh, nak tak nak, dia kena juga menjamu tetamu dengan minuman. Segera dia menyediakan empat gelas.
            Nafasnya ditarik dalam. Terus dia mengangkat dulang lalu ke ruang tamu. Abang Irfan dari tadi memerhatikan dia. “Oh, inilah anak kau? Dah besar panjang dah. Dulu pakcik datang, kecik je lagi.”
            “Ala, sama je dengan anak kau. Masa aku jumpa dulu, kecik juga. Sekarang ni, dah besar panjang dah. Dah boleh kahwin dah,” ayah pula memberitahu. Irfan hanya tersenyum.
            Cepat-cepat Fiya menjamu minuman tersebut lalu ke dapur dengan segera. Ayah dah pernah jumpa Abang Irfan? Ayah Abang Irfan pun pernah jumpa aku? Ke kita orang ni dah pernah berjumpa masa kecil?
            Tiba-tiba ibu datang dari depan. “Dorang makan tengahari dekat sini hari ni. Tolong ibu masak, ya?” Sudah. Makan tengahari pula. Fiya dah tak boleh nak buat apa. Dia hanya mengangguk, terpaksa.
            “Okey.”

“TAMBAH lagi Irfan. Takkan sikit je makan?”
            “Eh, tak apa pakcik. Dah kenyang dah ni. Saya ke depan dulu, ya?” Mereka semua mengangguk. Irfan terus membasuh tangan lalu ke depan. Dia melihat luar rumah. Kelihatan Fiya sedang termenungkan entah apa. Terus dia ke luar.
            “Termenung apa tu?”
            Terkejut juga Fiya. Dia hanya menggeleng. “Mana ada orang termenung.”
            “Eleh, tipu sangat. Termenung pakwe la tu,” terus Irfan duduk di sebelah Fiya. “Fiya ingat tak masa kita kecik, kita ada jumpa?”
            “Kita pernah jumpa ke?”
            Irfan hanya mengangguk. “Abang pun lupa-lupa ingat. Tapi tak silap abang, abang pernah jumpa Fiya. Itu pun lepas abang jumpa ayah Fiya, abang ingat balik. Fiya masa tu kecik lagi. Mana nak ingat.” Fiya hanya mengangguk faham. “Abang pun kecik lagi. Ini pun lupa-lupa ingat.”
            “Kita dah pernah jumpa la sebelum ni…” Irfan pun hanya mengangguk bersetuju dengan pernyataan Fiya.

* * *
SUDAH lama dia tidak mendengar khabar Abang Irfan. Kali terakhir dia jumpa sewaktu Abang Irfan datang melawat ayah. Rindu ke, Fiya? Fiya hanya menggeleng. Takkan nak rindu pula…
            Sesi persekolahan 2012 sudah pun bermula. Tahun untuk dia mengambil SPM. Pada hari pertama persekolahan sahaja, banyak tips-tips yang diberikan oleh guru matapelajaran. Tak menang tangan juga dengan kerja sekolah yang berlambak bak Gunung Kinabalu itu. Fiya pun tahu, tahun ini dia mengambil SPM. Mana boleh sambil lewa lagi dalam pelajaran. Sewaktu Tingkatan 4 dulu pun, abangnya tidak habis-habis menyuruhnya belajar. Bak kata pelajar Tingkatan 4, tahun bulan madu. Tapi bagi dia, tak ada madunya. Pahit yang banyak. Tingkatan 5 ini, lagi bertambah pahitnya.
            “Sejak bila kau suka termenung memanjang ni? Cuba cerita dekat aku sikit,” Syafiq yang berada di sebelahnya tiba-tiba bertanya.
            Fiya tersentak. “Kau ni bagi salam boleh tak?”
            “Sorry… haa, dari tadi kau menung apa?”
            “Menung apanya? Mana ada,” terus Fiya menalakan matanya ke arah buku teks Sejarah untuk dibaca. Mata di buku teks, hati di tempat lain.
            “Gebang…” Syafiq pun terus pergi ke tempat duduknya. Fiya menggeleng. Bising je mulut, macam perempuan.

* * *
LAGU Rain Over Me – Marc Anthony berkumandang menandakan ada panggilan masuk. Cepat-cepat dia berlari ke arah telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Aida…
            “Assalamualaikum…” Aida memberi salam sebagai kata pendahuluan.
            “Waalaikumussalam… nak apa?”
            Kedengaran suara di sana seperti tersengih. “Sabtu esok teman aku pergi Popular. Ayah aku suruh beli buku rujukan sendiri. Kau pun tahukan, aku ni mana pandai nak pilih buku-buku ni. Boleh eh?”
            “Esok? Nanti aku tanya ibu aku. Kalau boleh, aku call kau.”
            “OKAY! Bye… terima kasih kawan.”
            “Sa…” panggilan di sana sudah dimatikan. Baru nak jawab, dah mati. Nasib baik kawan aku sendiri.

* * *
“LAMA betul aku tak jumpa Abang Irfan.” Seperti biasa, tiada respon daripada Fiya. Tidak lama kemudian, Fiya mengangguk.
            “Sama la. Kau agak-agak, dia kerja tak hari ni?” Aida mengangkat bahu menandakan dia tidak tahu. “Jom pergi tengok.”
            Aida mengangguk. Baru sahaja beberapa langkah, Aida memberhentikan rakannya itu. “Cop cop cop cop… kau kenapa tiba-tiba nak cari Abang Irfan ni? Haaa, kau ada hati eh dekat dia?”
            Tak pasal-pasal satu penumbuk hinggap di lengannya. “Sakit la woi!”
            “Tau pun sakit. Main pakai cakap je.”
            Aida masih lagi membelai lagi lengannya untuk mengurangkan kesakitan itu. “Aku cakap je. Kau pulak yang terlebih emo.”
            Tiba-tiba sahaja Fiya tersengih. “Sorry…”
            Aida mengangguk. “Maaf kau tak diterima. Belanja aku KFC.”
            “Yelah, aku belanja…”

“KAU nampak abang Irfan?” Aida bertanya sambil mencubit ayam.
            “Tak nampak.”
            “Takkan dah berhenti?” jelas kerutan di dahi Aida.
            “Entah la,” angkat bahu tanda tidak tahu.
            “Dah, makanlah.”
            Fiya terus mengangguk.

* * *
TASIK Y itu tidaklah ramai orang. Selepas waktu persekolahan tamat, dia, Aida, dan Syafiq terus menuju ke sini untuk mengulangkaji pelajaran. Ingat balik segala pelajaran di Tingkatan 4 yang entah ingat lagi ke tidak. Sisa-sisa pelajaran Tingkatan 4 itu adalah lagi, tapi sikit saja. Yang lain semua dah melayang hilang.
            “Argghhh! Pening, pening, pening!”
            Aida dan Fiya hanya menjeling Syafiq yang tidak habis-habis mengeluh. “Kau ni bisinglah. Kalau aku tau kau bising macam ni, tak payah bawa kau ke sini.” Aida sudah mula membebel.
            “Kau tu lagi bising. Membebel je kerja.” Syafiq pun tidak mahu mengalah.
            “Dah, dah, dah. Study dulu. Nak gaduh lepas study.
            “Nasib baik ada Fiya. Kalau tak, dah lama aku kasi pelempang aku ni hinggap pipi kau.”
            “Fiya, kau tau tak, ada budak tu kan, dia kan, …”
            “Assalamualaikum…” belum sempat Aida hendak menghabiskan kata-katanya, datang seorang gadis.
            “Waalaikumussalam…” serentak mereka bertiga jawab. Fiya pula seperti cam akan gadis tersebut.
            “Fiya?” lantas gadis tersebut menoleh ke arah Fiya. Fiya tidak tahu nak kata apa. Dia hanya mengangguk. Macam mana pulak akak ni boleh kenal aku?
            “Akak Mia,” pantas Mia menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan Fiya dan Aida. Syafiq dah terpinga-pinga, begitu juga dengan Aida. Siapa pula akak depan mereka ini?
            “Fiya takkan tak ingat akak lagi?”
            Fiya memang sudah memerah otak dari tadi dan cuba untuk mengingat balik siapakah akak Mia ini. Lama dia berfikir, tetapi susah untuknya mengingati.
            “Akak ni kawan abang Irfanlah.”
            Gotcha! Dia inilah akak yang sibuk-sibuk nak suruh aku blah dari tempat duduk tu. Akak Mia dan abang Irfan. Macam manalah aku boleh lupa benda tu. “Haa, ingat…”
            Pantas Mia duduk di sebelah Fiya. “Untunglah akak jumpa Fiya dekat sini. Akak sebenarnya ada amanah ni.”
            Amanah? Masuk drama mana pulak ada amanah ni.
            Mia terus mencari sesuatu di dalam beg tangannya. Satu sampul putih dikeluarkan. “Ini jemputan perkahwinan akak dengan abang Irfan. Abang Irfan harap sangat Fiya dapat datang. Dia tak dapat nak jemput Fiya.”
            Pantas Fiya melihat kad jemputan tersebut. 30.9.2012. “Insya-Allah, kalau Fiya dapat datang, Fiya datang. Tapi kenapa ek abang Irfan tak jemput sendiri?”
            Berubah riak muka Mia. “Errr, dia… tak apalah. Janji Fiya datang, ya? Haa, Aida dan Syafiq kalau nak datang pun boleh.” Mungkin Mia sudah melihat tag nama pada tudung Aida dan baju Syafiq.
            “Insya-Allah,” serentak.
            “Ermm, akak pergi dulu, ya? Assalamualaikum…” pantas dia berjabat tangan dengan Fiya dan Aida lalu meninggalkan mereka bertiga.
            “Kenapa abang Irfan tak jemput kita sendiri?”
            Aida dan Syafiq hanya diam. Tidak tahu…

* * *
SUDAH BEBERAPA hari berlalu selepas Kak Mia menjemput dia ke majlis perkahwinan. Selama itu jugalah dia tak mendengar khabar abang Irfan. Telefon bimbit diambil lalu mencari nombor abang Irfan. Dia membuat panggilan.       
“Assalamualaikum dik,” abang Irfan memulakan perbualan.
            “Waalaikumussalam. Dah tidur ke?”
            “Belum lagi…”
            “Lama tak dengar khabar abang. Abang sihat?”
            “La, lama tak dengar khabar ke ataupun rindu dekat abang?” ketawa pecah.
            “Apa la. Orang tanya khabar je. Apa pulak nak rindu dia,” betul ke tak rindu, Fiya?
            Ketawa Irfan masih bersisa. “Insya-Allah, buat masa sekarang, abang sihat. Tak tahu la hari esok.”
            “Alhamdulillah. Wahh, abang senyap sepanjang masa ni sebab sibuk nak kahwin la tu. Tak nak cakap dengan Fiya pun.”
            “Kak Mia dah jumpa Fiya?”
            “Dah. Kenapa tak abang je yang jemput Fiya? Kenapa Kak Mia yang jemput?”
            “Maaf sangat. Abang busy betul sampai tak dapat nak jemput Fiya sendiri. Nasib baik Kak Mia kenal Fiya. Tu sebab abang suruh Kak Mia jemput Fiya,” suara Irfan berubah. Fiya perasan akan perubahan suara abang Irfan.
            “Abang okey tak?”
            “Okey je.”
            “Okey... Abang rehat sana la dulu. Assalamualaikum…”
            “Waalaikumussalam. Jangan lupa datang tau. Kali ni abang jemput melalui lisan.” Abang Irfan ketawa lagi.
            Fiya sama-sama ketawa. “Insya-Allah.”        
            Panggilan dimatikan. Dapat juga dia melepaskan rindu. Rindu? Apa-apa sajalah, Fiya. Janji dapat dengar abang Irfan bercakap setelah terlalu lama mereka tak berjumpa.

* * *
“SEMALAM aku call abang Irfan.”
            “Dia cakap apa?” Aida teruja hendak tahu.
            “Tak ada cakap apalah,” berkerut dahi Fiya. “Aku tanya khabar je. Abang Irfan tu macam penat je.”
            “Alaa, mana tak penat. Banyak benda nak ready untuk perkahwinan dorang, kan?” Fiya hanya mengangguk. Buku rujukan Chemistry dibaca balik walaupun kepala tak beri izin masuk. Dah tepu sangat dah kepalanya dengan segala matapelajaran SPM. Peperiksaan percubaan SPM pun dah nak dekat.
            Kusut kepala! TOLONG!

* * *
ALHAMDULILLAH, semuanya selesai. Percubaan dah lepas. Tak lama lagi, perkahwinan abang Irfan. Memang kena datang. Lama tak jumpa abang Irfan.
            Mesej tiba-tiba masuk. Daripada abang Irfan.
Jangan lupa datang tau!
            ‘Insya-Allah, bang,’ getus hatinya.

* * *
MAJLIS NIKAH sudah dijalankan seminggu sebelum persandingan dia dan Mia di rumahnya sendiri. Ramai juga yang datang ke majlis perkahwinannya. Setelah beberapa tahun berkawan dengan Mia, akhirnya mereka berkahwin juga. Mia pun sudah berubah. Alhamdulillah…
            “Assalamualaikum…” Irfan dan Mia menoleh ke belakang selepas mereka bersalaman dengan tetamu.
            “Fiya.” Mia sudah tersenyum. Fiya tersenyum sekali.
            “Sorry bang. Terlewat datang. Ni hadiahnya.” Dia menghulurkan hadiah kepada Irfan. Irfan mengambilnya.
            “Terima kasih Fiya. Tak apa. Fiya datang pun dah kira okey dah ni.”
            “Betul cakap abang Irfan tu. Nasib baik Fiya datang,” ujar Mia.
            “Tahniah Irfan.” Ayah Fiya sudah berada di sebelah. Mereka bersalaman.
            “Terima kasih, pakcik.” Dikucup tangan lelaki itu.
            “Fiya, jom balik,” ayah sudah mengajak balik. Lagi pun dah ramai tetamu yang balik. Waktu jamuan pun sudah hampir habis.
            Fiya mengangguk. “Fiya balik dulu bang, kak. Selamat pengantin baru.”
            Mereka semua ketawa. “Terima kasih,” serentak Irfan dan Mia mengucapkannya.

* * *
PENYAKIT ayah datang lagi. Nasib baik abang ada dekat rumah selepas memerhatikan keadaan ayah yang sejak kebelakangan ini asyik tidak sihat saja. Dapat juga abang menghantar ayah ke hospital.
            Ayah ditahan di wad lagi. Nasib baik dia sudah lepas SPM. Dapat juga jaga ayah sementara menunggu ibu yang mengemaskan barang ayah di rumah.
            “Kamu pergilah beli makanan dekat bawah tu. Ayah boleh tunggu.”
            “Tak apalah ayah. Fiya tak lapar lagi.”
            “Pergilah. Ayah tengok kamu tak makan dari tadi.”
            Fiya terpaksa akur. “Fiya pergi dulu, eh?”
            Ayah hanya mengangguk.
            Dia keluar daripada wad tersebut. Orang pertama yang dia lihat sewaktu keluar daripada wad ialah Kak Mia. “Kak Mia?”
            “Fiya?  Buat apa dekat sini?”
            “Ayah masuk wad. Akak buat apa dekat sini?”
            Riak muka Kak Mia berubah. “Jom dik.”
            Jom? “Nak ke mana kak?”
            Kak Mia tidak berkata apa. Kak Mia terus memasuki wad yang sama dengan ayahnya. Fiya menyusul.
            Kak Mia berhenti pada satu katil. Abang Irfan?
            Muka Kak Mia sebak melihat abang Irfan yang sedang tidur. Muka abang Irfan pucat sekali. “Kenapa dengan abang Irfan, kak?” soalan itu spontan ditanya.

“ABANG IRFAN dah lama ada kanser.”
            Ruangan hospital itu tidak ramai. Fiya dan Mia sudah duduk di luar wad tersebut. “Sebelum perkahwinan tu, abang Irfan memang dah sakit.” Air mata Kak Mia jatuh. Dia mengesatnya
            Fiya mendengar penuh khusyuk. “Masa Kak Mia bagi Fiya kad jemputan tu pun sebab abang kena tahan dalam wad. Tapi masa tu belum teruk lagi. Dia sempat lagi suruh akak jemput Fiya ke majlis perkahwinan hari tu.”
            “Kenapa akak tak cakap dengan Fiya pasal benda ni?”
            “Abang Irfan sendiri tak bagi akak beritahu kamu pasal benda ni,” suara Kak Mia serak basah kerana menangis.
            Fiya mengangguk faham. Kenapa abang tak cakap dengan Fiya?
            “Apa hubungan Fiya dengan abang Irfan?” soalan itu tiba-tiba ditanya oleh Mia. Fiya menoleh Mia.
            “Abang angkat.”
            “Fiya dah lama kenal ke dengan abang Irfan?”
            Fiya melepaskan keluh, berat. Bersedia untuk bercerita. “Kami dah kenal masa kecik lagi. Tapi Fiya tak ingat sebab kita orang kecik lagi. Lepas tu, keluarga abang Irfan ada datang ke rumah Fiya sebab nak lawat ayah yang baru lepas masuk hospital. Masa tu la baru Fiya tahu yang kita orang dah pernah berjumpa.”
            Mia hanya mengangguk faham.
            “Akak, nanti Fiya datang lawat abang Irfan, ya? Dah lama Fiya tinggalkan ayah tu.” Mia angguk lalu senyum. “Assalamualaikum kak.”
            “Waalaikumussalam.

* * *
PENATNYA tak hilang lagi. Ini pun baru dapat jejak katil. Dia terus baring. Apa yang dia tahu, dia mahu tidur! Penat sangat.
            Mata baru nak tertutup tetapi telefon sudah menjerit. Kenapalah mesti kacau dia waktu dia nak tidur ni?! Nombor tak dikenali pula tu.
            “Hello?”
            “Hello. Fiya, abang Irfan…”

BARU sahaja dia balik dari hospital pagi tadi. Kali ini, dia patah balik ke hospital untuk melawat abang Irfan. Kak Mia beritahu dia bahawa abang Irfan semakin kronik. Fiya terus terkejut. Hampir terlepas telefonnya sewaktu Kak Mia beritahu semasa dia berada di rumah tadi.
            Ibu abang Irfan sedang memeluk Kak Mia di luar wad. Mereka teresak-esak menangis. “Kak Mia…”
            Mereka menoleh Fiya. “Fiya…” Kak Mia tak dapat nak meneruskan kata-katanya. Ibu abang Irfan sudah teresak-esak tak mampu untuk berkata-kata. Abang Irfan… air mata tanpa sengaja jatuh di pipi. Fiya ke arah kerusi yang berdekatan. Terduduk. Air mata makin deras turun. ‘Abang…’

* * *
“ABANG IRFAN banyak merubah akak.”
            Fiya menoleh Kak Mia yang sudah duduk di atas kerusi di pekarangan rumah abang Irfan. Tahlil baru saja lepas diadakan. “Merubah?”
            Kak Mia mengangguk. “Lepas dia tahu dia ada sakit, dia banyak nasihat akak. ‘Berubahlah… jangan sampai nikmat atau kesihatan kita ditarik oleh Allah, baru kita nak bertaubat, baru nak berubah,’ itulah nasihat dia selalu beritahu akak,” air mata Mia meleleh, dibiarkan jatuh.
            Air mata Fiya turut sama jatuh. Dia tahu dia tidak kenal sangat dengan abang Irfan, tapi dia dah anggap abang Irfan seperti abang dia. Kalau dia tahu abang Irfan ada sakit, sentiasa dia berikan abang Irfan sokongan. Kalau dia tahu…
            “Walaupun Fiya tak kenal sangat arwah, tapi Fiya dah anggap macam abang sendiri.”
            “Mula-mula akak nak bagi tahu Fiya pasal benda ni. Tapi abang tak bagi. Dia tak nak susahkan Fiya. Dia pernah cakap dengan akak, dia nak tengok Fiya berjaya. Dia pun dah anggap Fiya macam adik sendiri.”
            Makin laju air mata Fiya meleleh. ‘Abang…’
            “Untung Fiya ada abang macam tu.” Kak Mia menyambung.
            Fiya hanya tersenyum walaupun air mata tidak berhenti jatuh. Hari itu, tidak sempat untuk dia melawat arwah. Tahu-tahu sahaja abang sudah pergi buat selama-lamanya. Orang kata, sudah tiba masanya. Abang, semoga abang tenang di sana. Insya-Allah…

* * *
“ANAK papa…” dicubit-cubit perlahan pipi anak kecilnya itu. “Nak bagi nama apa ni?” Syafiq dah tersenyum lebar sambil menjeling Fiya.
            Fiya terbaring lemah tapi senyumannya tetap tidak hilang selepas melihat anaknya itu. “Irfan.”
            “Sedap nama tu.” Mereka berdua tersenyum.

4 comments:

Jane said...

ada pulak orang dengar lagu it will rain buat head banging. macam dah tak ada lagu lain je nak buat lagu rain over me.bahaha.okay saya sedar saya menyibuks.ahaha.boring

Anonymous said...

@mina
lagu it will rain haram

Aqmar Ismail said...

Maaf semua :) Disebabkan lagu ni tidak bersesuaian, saya telah menukarnya. Terima kasih.

Jane said...

to mr/mrs anonymous,i already knew.