4. SHEILA DAN ADILA
SEKARANG
SHEILA menangis. Adila memeluk Sheila manakala Hadi termenung jauh. “Awak tahu sebab apa Kak Hani meninggal, Hadi? Sebab dia keluar dengan jantan tak guna tu!” jerit Sheila.
“Sabar Sheila, sabar,” pujuk Adila.
“Macam mana saya hendak bersabar Adila? Macam mana? Kakak saya telah dirogol dan dibunuh. Lelaki kejam! Kejam!” jerit Sheila sambil menangis teresak-esak. Semua orang yang berada di dalam kafe melihat mereka. Mata Hadi bergenang dengan air mata. Adila juga begitu, air matanya bergenang.
Adila sebak melihat keadaan Sheila. Rupa-rupanya ada yang lebih teruk dihadapi oleh orang lain selainnya. Ini bukan salah Sheila. ALLAH sudah menentukan segala-galanya. Tiada seorang hambaNya pun yang boleh menghalang.
“Sheila, apa dah terjadi pada kakak awak?” soal Adila. Hadi menyeka air matanya yang mengalir lalu melihat Sheila.
“Kakak saya dirogol dan dibunuh,” jawab Sheila. Sheila sudah mula tenang. Dia menarik nafas lalu menceritakan segalanya kepada Adila dan Hadi.
“Ya ALLAH, sampai begitu sekali,” ujar Adila sambil menggelengkan kepala. Reaksi muka Hadi begitu berbeza, seperti orang yang begitu terkejut.
“Pembunuh kakak saya sudah ditangkap. Dan ALHAMDULILLAH, kebenaran jua yang akan menang,” ujar Sheila sambil menyeka air matanya.
“Bagaimana dengan Hakim?” soal Hadi. Sheila memalingkan mukanya kepada Hadi.
“Sejak dari hari itu, saya benci lelaki! Saya meluat melihat mereka. Tetapi sampai bila saya hendak begitu. Hakim telah bertemu dengan perempuan lain. Semua lelaki sama! Tak pernah nak setia!”
Hadi terkejut sedikit. Dia malu untuk melihat wajah Sheila. Betapa menyesalnya Hadi ketika itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu. Adila menundukkan kepalanya. Rambutnya menutupi mukanya. Adila hanya berserah kepada ALLAH supaya dijauhi perkara-perkara tersebut. Kebenciannya terhadap lelaki semakin menebal. Tidak mungkin ada seorang pun yang dapat menghapuskan kebenciannya itu.
PERKARA yang berlaku semalam menyedarkan Hadi betapa zalimnya lelaki terhadap wanita. Ramai lelaki menganggap wanita di dunia ini adalah boneka sebagai pemuas nafsu mereka. Hadi meraup mukanya itu. Rambutnya kusut-masai. Selepas Subuh tadi, Hadi menyiapkan tugasannya yang tertangguh semalam.
Hadi bangun daripada tempat pembaringannya lalu keluar daripada asrama. Dia segera ke arah taman untuk menghirup udara segara, udara yang dicipta oleh ALLAH untuk umatNya di bumi. Nyaman sekali rasanya. Hadi mengucapkan tahmid ke atas Ilahi atas nikmat yang diberikanNya.
Hadi duduk di bawah pokok yang rendang. Dia melihat kanak-kanak beriadah bersama-sama keluarga. Tiba-tiba perasaan sebak bermain di hatinya. Alangkah bagusnya jika Hadi dan Linda dapat membesarkan anak mereka bersama-sama. Tetapi Linda sudah pergi bertemu Ilahi bersama anaknya. Hadi merasakan dirinya begitu jahil melakukan perkara tersebut kepada Linda.
Hadi menyeluk ke dalam koceknya untuk mengambil telefon bimbitnya. Dia membuka bahagian Galeri, dan melihat gambar Linda. Hadi tersenyum lalu mengimbas kembali kenangannya bersama-sama dengan Linda.
HADI bersama Farith pergi ke pusat membeli-belah untuk melepak. Rambutnya berwarna perang, memakai rantai dan memakai gelang tajam. Farith pula memakai anting-anting dengan rambutnya yang berwana merah.
Walaupun peperiksaan semakin dekat, tetapi mereka langsung tidak terfikir akannya. Yang hanya difikirkan hanyalah berseronok. Darah muda. Mereka berseronok sambil menyakat orang yang lalu-lalang.
“Weh, aku nak ke tandaslah. Kau tunggu aku sekejap,” kata Hadi kepada Farith.
“Aku ikutlah. Bukannya ada sesiapa pun aku boleh kacau sekarang,” jawab Farith.
“Haa, yalah. Jom!” ajak Hadi.
Sempat lagi Farith menyakat sekumpulan gadis dalam lingkungan 16 atau 17 tahun sewaktu dalam perjalanan hendak ke tandas. “Hai cik adik, nak ke mana tu?” sakat Farith terhadap mereka. Gadis-gadis tersebut menjeling tajam terhadap Farith.
“Woi, dahlah tu. Aku nak ke tandas dulu,” ujar Hadi. Farith hanya mengangguk. Hadi tergesa-gesa pergi ke tandas kerana sudah tidak tahan untuk melepaskan hajatnya itu. Dia segera masuk ke dalam tandas. Tanpa disedarinya, Farith berada di belakangnya dan menunggu di pintu tandas.
Sempat juga Farith mengacau seorang pekerja di situ yang berwarganegara Bangladesh. “Woi, kau ni pandai-pandai eh pungut duit orang untuk masuk ke tandas,” kata Farith terhadap pekerja tersebut. Pekerja yang berwarganegara Bangladesh itu hanya mendiamkan diri. Kemungkinan tidak faham apa yang dikatakan oleh Farith. “Ala, aku cakap dengan kau buang masa jelah,” ujar Farith. Dia mengeluarkan sebatang rokok dan menghisapnya dengan nikmat sekali.
Hadi keluar daripda tandas lalu mengeluarkan RM0.20 untuk membayar. “Sorry, aku tak tahan sangat dah tadi sampai lupa nak bayar,” ujar Hadi. “Thank you!” ucap pekerja Bangladesh itu dengan sedikit loghat bahasa ibundanya.
“Ya eleh, lu ni apa mat? Yang kau pergi bayar duit tu buat apa?” soal Farith sambil melepaskan asap rokoknya ke arah pekerja Bangladesh itu.
“Untuk kebersihan tandas jugak,” jawab Hadi sekadar bergurau. Mereka melepaskan ketawa bersama-sama.
Mereka berdua melihat seorang gadis seperti sedang menunggu seseorang. “Woi, Hadi! Apa kata kau pergi berkenalan dengan budak perempuan tu?” soal Farith. “Malas aku! Buang masa. Tak hot!” jawab Hadi sambil melepaskan gelak.
“Memilih pulak kau eh? Sekejap,” kata Farith. Farith menuju ke arah gadis tersebut. Hadi merenung daripada jauh. Dia mengekori Farith. “Hai!” ucap Farith.
Gadis tersebut hanya mengangguk. Gadis tersebut melihat jam tangannya. Semasa Hadi berada di sebelah Farith, gadis tersebut seperti terpegun. Terpegun dengan kekacakan Hadi. “Hai!” ucap Hadi pula. Gadis tersebut membalasnya dengan berkata hai juga.
“Siapa nama?” soal Hadi. Gadis tersebut tersenyum.
“Linda. Awak?” soal Linda pula.
“Hadi,” jawabnya. Mereka berdua tersenyum gembira. Farith menepuk tangan. “Wah! Bagai merpati dua sejoli!” ujar Farith lalu menghamburkan ketawanya. Linda menundukkan mukanya kerana malu.
“Okeylah, saya nak pergi cari kawan saya ni. Lambat betul dia,” ujar Linda. Hadi meminta Linda nombor telefon. Alasannya adalah untuk kenal dengan lebih rapat lagi. Linda memberikan nombor telefonnya tanpa berfikir panjang sama ada Hadi ikhlas berkenalan dengannya ataupun tidak. Hadi menulis nombor telefon Linda di dalam telefon bimbit.
“Thanks,” ujar Hadi. Linda mengangguk lalu meninggalkan mereka berdua.
“Tengok, gua dah cakap lu mesti nak kenal dengan minah tu punya,” kata Farith. Hadi hanya tersenyum. Senyuman yang penuh dengan nafsu amarah.
HADI tidak keruan. Pusing ke kiri tidak kena, pusing ke kanan tidak kena. Gadis yang baru sahaja dia kenali tadi bermain di dalam kepala. Berpusing-pusing wajah Linda di kotak ingatannya. Hadi mencapai telefon bimbitnya yang berada di sebelahnya lalu mencari nombor Linda.
“Hai Linda, tengah buat apa tu?” soalnya selepas panggilannya berbalas.
“Siapa ni ya?” soal Linda. Dia belum cam lagi dengan suara Hadi.
“Saya Hadi, yang kita jumpa bersama dekat shopping complex tadi,” jawab Hadi pula.
“Oh, awak rupanya. Saya tengah ulangkaji pelajaran ni, minggu depan ada peperiksaan. Awak tak belajar ke?” soal Linda.
“Ala, tak perlulah,” jawab Hadi. “Lagi pun bosanlah belajar je,” ujarnya lagi.
“Okey, saya tahu awak mesti belajar sekarang juga! Kalau tak, saya tak nak berkawan dengan awak!” ujar Linda sebagai amaran kepada Hadi. Mereka sama-sama gelak.
HADI tersedar daripada lamunan selepas seseorang membalingnya dengan batu. Dia mencari-cari orang yang membaling batu kepadanya. Rupa-rupanya Adila yang membalingnya. “Awak rupanya Adila,” ujar Hadi dengan menyimpulkan senyuman. Senyumannya itu menampakkan ketampanannya.
“Mengelamun apa tu?” soal Adila.
“Haa? Tak ada apa-apalah. Teringatkan Linda. Awak tahu tak, kalau tak kerana Linda, saya tak akan sampai dan tak akan menjejakkan kaki saya ke univeriti ni tau. Kerana dialah, saya belajar bersungguh-sungguh,” kata Hadi sambil memandang Adila. Adila tidak selesa dengan pandangan yang diberikan oleh Hadi itu.
Adila merenung jauh. Mereka diam seketika. “Kalaulah saya dapat patah balik ke masa lepas,” kata Hadi kepada Adila. Adila merenung muka Hadi, tampak jelas Hadi amat menyesali perbuatannya dahulu. Kenapa orang macam kau ini selalu menyusahkan? Kenapa mesti ada lelaki di dunia ini? Kenapa mesti mereka menyakitkan hati perempuan? Kenapa mereka menganggap wanita adalah boneka kepada mereka? Adila membentak-bentak di dalam hati. Geramnya terhadap lelaki bukan kepalang.
No comments:
Post a Comment