-->

Sunday, October 24, 2010

Kau Pergi Chapter 3

3. Kakak..

(SHEILA)

4 TAHUN LEPAS


AKU bersama kakak ke pekan untuk membeli barangan dapur. Kakak memandu keretanya menuju ke pekan. Dalam perjalanan ke pekan, kakak sekali-sekala menyanyikan lagu yang diputarkan di radio. Aku tersenyum. Gembira sungguh kakak aku yang seorang ini.


“Haik, kak. Happy je adik tengok kakak ni. Ada apa-apa ke?” soal aku sambil mencuit bahu Kakak Hani.


Kakak Hani mengaduh kesakitan. “Ouch, sakitlah. Hish adik kakak seorang ni. Ganas betullah. Nama je perempuan,” gurau Kakak Hani sambil melepaskan gelaknya. Aku mencebikkan bibir. “Ala adik kakak ni. Merajuk pulak,” pujuknya pula kali ini.


“Mana ada merajuk, sedih je.”


“Adik akak ni sejak bila pandai bersedih ni?” soal Kakak Hani pula.


Aku menyimpulkan senyuman. “Gurau je.”


Kakak Hani tersenyum lalu meneruskan perjalanannya ke pekan. Mencari tempat untuk memarkir kereta agak sukar sekali. Tambahan pula hari ini merupakan hari minggu. Ramai orang ke pekan untuk membeli barangan. Kakak Hani terpaksa memarkir kereta jauh dari pasaraya.


Sewaktu berjalan kaki ke pasaraya, telefon bimbit Kakak Hani berbunyi. Kakak Hani menyelak beg tangannya untuk mengambil telefon bimbitnya. Dilihatnya skrin dan terus menekan keypad menjawab.


“Hello awak,” Kakak Hani menunjukkan isyarat ‘tunggu’ kepada aku sambil berjalan ke arah pokok rendang yang berdekatan. Aku lihat Kakak Hani asyik tersenyum sahaja. Kadang-kadang dia tergelak. Aku menunggu Kakak Hani hampir 15 minit. Kakak Hani berjalan ke arah aku sambil memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan.


Sorry dik sebab kena tunggu lama,” ujar Kakak Hani sambil melemparkan senyumannya. Aku mengangguk dan membalas senyumannya. Kakak Hani membetulkan rambutnya yang lurus itu.


“Siapa yang telefon akak?” soal aku untuk memulakan perbualan. “Boyfriend ke?”


“Hish adik ni! Tak adalah. Kami baru je kenal. Akak jumpa dia dekat birthday party kawan akak minggu lepas,” terang Kakak Hani. Aku hanya mengangguk.


Patutlah aku lihat Kakak Hani begitu gembira sekali. Rupa-rupanya dah ada buah hati. Kakak Hani sekali-sekala menyanyi sambil menuju ke pasaraya. Gembira betul Kakak Hani ini. “Kak Hani hoi, janganlah happy sangat,” ujar aku untuk bergurau.


“Adik!” jerit Kakak Hani sambil memukul aku. Aku meletakkan jari telunjuk di mulut untuk memberi isyarat diam. Kakak Hani menutup mulutnya seperti menahan ketawa. Aku melepaskan gelak kerana tidak tahan melihat gelagat Kakak Hani.


Kali ini, Kakak Hani pula meletakkan jarinya di mulut. Aku menutup mulut untuk menahan ketawa. Kami bersama-sama masuk ke pasaraya dengan gembira sekali. Aku dan Kakak Hani membeli barang yang telah disuruh oleh ibu. Hari ini merupakan hari yang paling gembira buat aku kerana dapat bermesra dengan Kakak Hani setelah sekian lama Kakak Hani tidak balik ke kampung kerana bekerja di Kuala Lumpur.


MALAM yang menyejukkan. Aku memakai baju sejuk untuk menghangatkan badan. Kakak Hani dan ibu berada di dapur untuk memasak. Aku di dalam bilik sedang mengulangkaji pelajaran. Tahun hadapan aku akan menghadapi peperiksaan yang peting, PMR. Sedang leka menulis nota, ibu memanggil aku ke dapur untuk makan malam.


Aku bangun dan terus keluar dari bilik. Sewaktu menuruni tangga, aku melihat ayah, ibu dan Kakak Hani sudah makan. Aku menarik kerusi bersebelahan Kakak Hani. “Adik kakak ni rajin betul sampai makan malam pun macam tak nak keluar je. Belajar saja memanjang,” ujar Kakak Hani sambil menggeleng-gelengkan kepala.


Aku hanya tersenyum. Ibu dan ayah hanya melihat gelagat aku. “Yalah kak. Tahun depankan adik PMR. Mana boleh tak belajar.”


“Adik belajar betul-betul tau sampai masuk universiti. Tolong ayah dan ibu tau,” nasihat Kakak Hani sambil memandang aku. Aku mengangguk lalu melemparkan senyuman kepadanya.


“Adik ingat pesanan akak!”


“Ibu, ayah, akak dah nak balik ke KL esok,” ujar Kakak Hani sambil memandang ibu dan ayah. Mereka mengangguk.


“Akak dah nak balik? Cepatnya,” ujar aku. Kakak Hani mengalihkan pandangannya ke arah aku. Aku melihat Kakak Hani. Kakak Hani tersenyum. “Akak banyak kerjalah dik. Tak boleh lama-lama. Nanti banyak kerja yang tak siap.”


Ala, bosanlah macam ni. Dah adik tak ada kawan. Akak balik minggu depan tak boleh ke?” soal aku untuk memujuk Kakak Hani supaya tidak balik pada hari esok.


“Tak bolehlah dik. Akak minta cuti selama seminggu je. Nanti bos marah kalau banyak kerja tertangguh.”


Aku mendiamkan diri. Kakak Hani mengusap-usap belakang badan aku. “Akak janji bulan depan akak balik lagi, okey?” pujuk Kakak Hani. Aku mengangguk dan senyum. Kakak Hani hanya tersenyum melihat gelagat aku. Hari ini selera aku begitu baik sekali. Tambahan pula lauk yang dihidangkan merupakan kegemaran aku. Keadaan waktu itu senyap sahaja. Tiada seorang pun yang bersuara.


KAKAK HANI telah bertolak ke Kuala Lumpur selepas waktu Subuh tadi. Hari ini merupakan hari Isnin, hari persekolahan. Terasa malas benar untuk ke sekolah. Tetapi, aku ingat lagi akan pesanan Kakak Hani supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga masuk ke universiti. Pesanan yang paling bermakna bagi aku.


Hari masih lagi gelap, tetapi aku sudah bersiap-siap untuk ke sekolah. Selepas menjamah roti dan air susu, aku terus keluar dari rumah dan memakai kasut. Ayah sudah tunggu di motosikalnya. Aku segera ke arah ayah dan dia membawa aku ke sekolah. Suasana di kampung tidak seperti di bandar kerana jalannya tidak sesak.


Sekolah masih lengang. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang baru tiba ke sekolah. Aku turun daripada motosikal dan bersalaman dengan ayah. Ayah memberi duit belanja. “Terima kasih, ayah,” ucap aku. Ayah cuma mengangguk.


Aku terus masuk ke sekolah. Kelas aku di blok B, tingkat 3. Tingkat paling atas. Aku seorang yang gayat. Tetapi aku terpaksa juga kerana sekolah telah menetapkan kelas tersebut. Sampai sahaja ke kelas, aku melihat Fika, Elena, Kamal dan rakan baik aku, Hazrin. Mereka semua sedang khusyuk menyiapkan kerja sekolah. Aku duduk bersebelahan dengan Hazrin. “Hazrin, kerja apa tu?”


“Haa? Kerja Sejarah. Kena siapkan ni. Kalau tak, memang cari nahas dengan singa betina tu,” seloroh Hazrin sambil bersusah-payah mencari jawapan di dalam buku teks. Aku hanya melihat gelagat dia.

“Kau dah siap?” tanya Hazrin sambil mencari jawapan.


“Mestilah dah. Kau tak kenal aku ke? Aku mana boleh tak siapkan homework.


“Eleh, perasan. Pinjam boleh?” soal Hazrin sambil melihat aku. Aku sudah dapat mengagak bahawa soalan itu akan ditanya oleh Hazrin. Aku menggeleng sambil menjelirkan lidah sedikit, mengejek. Hazrin sudah berasa geram.


Ala, relaxlah Rin. Nah, pinjamlah,” ujar aku sambil mengeluarkan kertas soalan Sejarah. “Jangan bagi sesiapa tengok tau,” beritahu aku sebagai amaran kepada Hazrin. Hazrin mengangguk. Dia menyalin ke semua jawapan aku.


Keadaan di sekolah hari ini seperti biasa. Belajar, rehat, belajar, kelas tambahan dan balik ke rumah. Tetapi hanya satu sahaja yang paling aku rimas sekali, pelajar nakal. Pelajar paling nakal sekali di sekolah ialah Hakim. Walaupun baru berumr 14 tahun, tetapi lagak seperti orang dewasa.


Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa nakalnya Hakim di sekolah. Tetapi itu biasalah, adat di semua sekolah. Jika tiada pelajar nakal, bukan sekolah namanya. Hakim merupakan anak kepada Pak Rahim, bilal di kampung aku. Pernah juga aku lihat Hakim diikat oleh ayahnya di pokok kerana bergaduh dengan budak kampung sebelah. Kecoh satu kampung.


Tetapi perangainya tidak pernah berubah. Tetap juga dengan perangai nakalnya. Aku hanya menggeleng mengingati peristiwa tersebut. “Hai awak!” tegur Hakim. Aku hanya melihat tajam kepadanya.


“Kau nak apa? Nak kacau aku? Dahlah, pergi sana!” tengking aku. Hakim hanya tersenyum. Dia duduk di sebelah aku. “Woi! Tak malu eh duduk sebelah perempuan?” soal aku. Dia tersenyum lagi sambil menggelengkan kepala.


Aku menjarakkan diri daripada Hakim. Hakim hanya melihat sahaja perlakuan aku. “Awak..”


“Eeeii, gelilah awak-awak ni. Kau nak apa sebenarnya? Nak kena sebat dengan cikgu? Kalau nak kena sebat, kau bulilah aku. Memang sah, dapat ganjarannya,” tengking aku lagi sambil melepaskan gelak.


“Saya suka awak!”


Aku merenung Hakim, tajam. Hakim mengalihkan pandangannya ke taman. “Apa? Apa kau cakap? Hish kau ni. Kita baru nak start hidup. PMR pun belum lepas lagi. Aku malas nak fikir couple-couple ni. Kau pun tahukan kita baru je di tingkatan dua,” ujar aku panjang lebar sebagai nasihat kepada Hakim. Hakim menundukkan mukanya. Aku bangun daripada kerusi lalu terus ke kelas.


Di dalam kelas hanya ada 5 orang pelajar sahaja. Mungkin yang lain berada di kantin. Aku mengambil buku rujukan Pendidikan Islam untuk mengulangkaji pelajar. Selepas ini waktu Matematik. Matapelajaran yang paling aku suka. Loceng isyarat tamatnya waktu rehat berbunyi. Pelajar-pelajar 2 Gigih mula masuk ke dalam kelas.


Mr. Tan masuk ke dalam kelas. Hari ini beliau mengajar kami Algebraic Expression. Selepas mengajar, dia memberi kami latihan. Ada juga beberapa soalan yang aku tidak beberapa faham. Aku akan bertanya kepada guru jika ada sesuatu yang aku tidak faham.


Selepas waktu Matematik, watu Geografi. Kemudian disusuli dengan Kemahiran Hidup dan akhir sekali, Bahasa Inggeris. Loceng balik ke sekolah berbunyi. “Okey guys. I want you to hand in your book tomorrow. Afi, switch off the fan, please. Thank you, class,” arah Miss Jane.


“Thank you, teacher!” kami terus keluar daripada kelas. Miss Jane mengemaskan barangnya.

Sesudah keluar daipada sekolah, aku lihat ayah sudah menunggu aku di bawah pokok.

“Assalamualaikum, ayah.”


“Waalaikumussalam. Dah, jom balik rumah. Balik ni terus siapkan kerja sekolah,” pesan ayah. Aku hanya mengangguk.


SELESAI sahaja menunaikan solat Isyak, aku terus mengulangkaji pelajaran. Tetapi malam ini seperti tiada mood untuk belajar. Aku teringatkan peristiwa di sekolah, Hakim. “Saya suka awak juga, Hakim…” detik hati aku. Perasaan yang susah untuk dijangka. Walaupun Hakim seorang yang nakal, tetapi aku suka melihatnya.


Apabila Hakim duduk di sebelah aku di sekolah tadi, aku gemuruh. Tidak tahu kenapa. Mungkin perasaan suka. Suka? Ataupun sayang? Tidak tahulah. Dua perkataan ini memang jauh berbeza sekali maksudnya.


Tiba-tiba pintu bilik aku terbuka. Aku lihat ibu sedang membawa baju yang telah dilipat. “Terima kasih, ibu,” ucap aku. Ibu senyum. Ibu meletakkan baju aku di atas katil lalu keluar dari bilik.

Kenapa tiba-tiba aku terfikirkan Hakim? Ah! Sudah. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan perkara tersebut. Yang perlu difikirkan adalah belajar. Belum masanya lagi untuk aku bercinta. Cinta monyet.


HAKIM berada di kelas aku. Aku pun tidak tahu apa yang dilakukannya di dalam kelas. Hazrin belum sampai ke sekolah. Kemungkinan lewat sedikit hari ini. Aku meletakkan beg di kerusi lalu keluar dari kelas. Hakim mengekori aku.


“Hai. Dah sarapan?” soal Hakim. Aku gemuruh benar waktu ini. Aku melemparkan senyuman kepada Hakim dan mengangguk. Hakim hanya tersenyum.


“Kau dah sarapan ke?” soal aku pula. Hakim hanya mengangguk. “Okey,” Hakim mengangguk lagi lalu melemparkan senyuman kepada aku. Aku membalas senyuman Hakim.


Sewaktu sedang belajar, Puan Anita masuk ke kelas dan berbisik kepada Encik Nazmi. “Sheila, pergi ke pejabat sekarang,” arah Puan Anita. “Oh, bawa beg awak sekali.” Aku mengangguk .


Sesudah sampai sahaja di pejabat, aku melihat ibu dan ayah sudah menunggu aku. Ibu datang memelukku. “Kak Hani meninggal dunia, nak,” ujar ibu. Betapa luluh hati aku apabila mendengar berita tersebut. Air mata aku mengalir lalu aku jatuh pengsan.

No comments: