-->

Thursday, March 18, 2010

...

Azri memerhatikan gelagat pelajar-pelajarnya di dalam kelas. Dia faham sangat dengan perangai pelajar-pelajar sekarang. Pantang ditegur, pasti ada yang tidak kena.

“Kita ni sebagai cikgu-cikgu, pantang menegur pelajar-pelajar. Ada sahaja yang tak kena. Esok pergi sekolah, tahu-tahu saja, pengetua panggil. Masuk bilik pengetua, ibu bapa pelajar dah ada dalam bilik tu,” Cikgu Afnan berkata dengan lantang. Gelak ketawa guru-guru lelaki meriuhkan lagi bilik guru SMK Intan Seri.

“Betul tu. Nanti ibu bapa yang persalahkan kita. Pada hal, anak-anak mereka yang bersalah,” sokong Cikgu Sabree.

“Cikgu, izinkan saya ke tandas,” salah seorang pelajar meminta izin daripada Azri. Azri tersedar daripada lamunan.

“Baiklah,” Azri mengizinkan. Dalam beberapa saat sahaja, pelajar tersebut keluar daripada kelas.

Bunyi loceng menandakan berakhirnya waktu Matematik. “Baiklah, latihan Matematik yang cikgu beri tadi sila siapkan dan hantar pada hari Khamis nanti,” Azri memberitahu pelajar-pelajarnya sambil menyusun buku-bukunya.

“Bangun kelas!” suara lantang ketua kelas membuatkan semua pelajar-pelajar bangun dari tempat duduk. “Terima kasih, cikgu,” Asmadi, ketua kelas Tingkatan 1 Cendana mengucapkan terima kasih dan serta-merta, rakan-rakannya yang lain mengucapkan terima kasih.

Azri mengatur perjalanannya dan terus keluar daripada kelas 1 Cendana.

+ + +

“Abang, makan jom,” ajak Hamidah, isteri Azri. Cantik orangnya. Kulit mukanya yang bersih, putih mulus, tidak ada sedikit kecacatan pun.

“Baiklah,” jawab Azri sambil meletakkan surat khabar yang dibacanya tadi di atas meja. Dia bangun dari tempat duduk lalu menuju ke arah dapur.

“Abang, nampak penat saja?” soal Hamidah dengan lemah lembut sekali. Dia tahu suaminya itu penat. Dari riak muka Azri sudah diagak olehnya.

“Penat sikit saja. Lagi pun dah nak sukan besar dekat sekolah ni, macam-macam benda nak kena buat,” jawabnya dengan tenang lalu duduk sambil melihat makanan yang dihidangkan isterinya.

Siapa yang kata makanan isterinya tidak enak, memang sah orang itu tak pandai merasai makanan. Dia tidak dapat sangkal lagi, memang makanan isterinya begitu enak sekali. Hampir setiap hari isterinya memasak untuknya. Mereka jarang sekali makan di luar.

“Abang, esok mak kata nak datang rumah kita. Dia nak duduk di rumah kita sementara. Katanya, ada kerja nak di buat di sini. Boleh tak, bang?” soal Hamidah sambil menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

“Kerja? Kerja apa?” soal Azri dengan penuh tanda tanya.

“Katanya, dia nak masukkan duit ke dalam bank. Duit hasil kebun abah tu,” jawabnya dengan tenang.

“Abang tak kisah. Nanti awak ambil dia dekat kampung, ya? Saya ada macam-macam kerja dekat sekolah tu,” arahnya sambil merenung mata Hamidah. Mata Hamidah yang bulat dan begitu cantik itu membuatkan Azri jatuh cinta terhadap Hamidah semasa pertama kali mereka berjumpa.

“Baik bang. Nanti saya ambil mak dekat kampung,” kata Hamidah sambil tersenyum.

+ + +

“Assalamualaikum, mak,” suara Hamidah yang kuat itu memecah kesunyian pagi.

“Waalaikumussalam,” suara wanita tua dari dalam rumah menjawab lalu pintu rumah terbuka. “Hamidah rupanya. Kenapa tak cakap nak datang pagi-pagi?” soal Mak Senah, ibu kepada Hamidah. Walaupun umurnya sudah mencecah 70-an, tetapi dia masih kuat lagi.

“Salah ke Midah datang pagi-pagi ni?” seloroh Hamidah sambil ketawa.

“Apa kamu ni! Nanti mak boleh juga buatkan sarapan yang sedap-sedap untuk kau.”

“Tidak apalah mak. Midah datang ni pun, nak bawa mak pergi rumah Midah tu. Mak kata ada kerjakan dekat sana yang perlu dibuat.”

“Ooh, baiklah. Sebentar lagi mak siap-siap. Kamu pergilah sarapan dulu dekat dapur sana tu. Ayah kamu awal-awal pagi lagi dah pergi kebun.”

“Ayah tahu tak mak pergi ke rumah saya?”

“Tahu.”

Hamidah menganggukan sahaja. Dia faham benar dengan sikap ayahnya yang suka berkebun itu. Hasil kebun ayahnya itulah dia membesar sehinnga berjaya. Dia bersyukur mempunyai keluarga yang menyayanginya dengan sepenuh jiwa.

No comments: