Aku menggosok mata, melihat sekeliling. Mataku terasa berat. Mengantuk masih tak hilang. Terasa nak tidur semula. Along dan Angah dah keluar bilik barangkali. Jam baru menunjukkan pukul 7 pagi. Nasib, terlepas Subuh lagi. Aku segera bangun, ke ruang tamu. Cuti sekolah ni, aku, Along dan Angah bercadang untuk duduk di rumah Pak Long di Johor Bahru.
Along dan Angah terlopong di depan televisyen. Entah apa yang mereka lopongkan. Aku segera duduk sebelah Along. "Pak long mana?" Aku bertanya, namun tiada jawapan.
"Mayat yang ditemui di kawasan tempat letak kereta di bangunan terbengkalai itu dikenali sebagai Abdul Rahim bin Abdullah." Gambar dalam televisyen itu membuatkan aku terlopong sekali. Tak mungkin. Tak mungkin tu Pak Rahim! "Hasil kajian yang dijalankan menyatakan bahawa mayat Abdul Rahim telah ditinggalkan di bangunan itu selama lebih seminggu." Hati aku bagaikan terhenti. Kami bertiga berpandangan. Tak mungkin!
* * *
"Along, laparlah.. Cari makan, jom!" aku mengajak. Angah hanya mengangguk. Pak long mungkin sedang solat Maghrib. Walaupun Pak long sudah mencecah umur 45 tahun, dia masih tak berkahwin. Entah kenapa.
"Makan mana? Nak pergi makan, ajak pak long sekali," usul Along. Aku hanya mengangguk. Tidak lama kemudian, pak long keluar dari biliknya dengan berpakaian t-shirt hitam, berkain pelikat. "Pak long nak ikut kitorang pergi makan?" Along bertanya.
"Tak apalah, pak long nak rehat kejap. Korang pergilah, tapi jangan jauh-jauh. Dekat area sini, banyak je warung. Pergi jelah mana-mana yang korang suka.." Pak long tersenyum. Kebetulan Along pandai bawa kereta, maka tak jadi masalah pada kami bertiga untuk mencari kedai makanan. Hampir dua tiga pusingan kami mencari kedai makan, tapi kesemuanya penuh.
"Kejap, Along, masa kita ke rumah pak long petang tadi, kita ada nampak mall ni ke?" Angah bertanya. Along segera menghentikan keretanya di hadapan bangunan shopping complex itu. Benar, memang kami tidak perasan langsung akan kehadiran bangunan itu. "Sejak bila pulak wujud bangunan ni?"
"Entah, jomlah cari parking, kita cari KFC ke, McD ke dalam mall ni," usul Along. Dia segera mencari tempat letak kereta. Nasib baik tak berapa susah nak cari parking. Kereta pun tak adalah banyak mana. Mungkin hari Khamis, malam Jumaat, siapa aje nak pergi shopping complex. Lebih baik duduk dalam bilik dengan yang tersayang, dapat jugak pahala - tapi khas untuk pasangan suami isteri jelah, tak ke?
Kami memasuki ke dalam shopping complex itu. Entah kenapa terasa suram saja aku rasa, walaupun lampu-lampu di dalam shopping complex itu terang-benderang. Orang tidak berapa ramai. Semua pengunjung bagaikan buat hal masing-masing - bahkan tidak nampak kami bertiga. Pelik. Namun aku tertarik pada sebuah premis, premis MPH! Heaven! Inilah buat kali pertamanya aku menjejakkan kaki ke MPH. Aku segera menuju ke arah MPH, diikuti oleh Along dan Angah. Namun, tiada sesiapa di dalam premis MPH itu. Pelik.
Semasa hendak membayar novel yang aku hendak beli, terdapat seorang juruwang perempuan. Seorang sahaja. Mukanya suram dan pucat. Rambutnya yang panjang menutupi mukanya yang sedang tunduk. "Sorang je ke? Mana pekerja lain?" tanya aku, namun juruwang perempuan itu hanya menggeleng.
Entah kenapa terasa dingin ketika itu. Bukannya dingin penghawa dingin. Dingin tersebut berbeza sekali. Selesai sahaja membayar, kami berjalan-jalan di dalam shopping complex itu. Along dan Angah membeli kemeja dan seluar jeans - malah juruwang tempat Along dan Angah membeli kemeja dan seluar jeans berkelakuan sama seperti juruwang di MPH, muka suram, pucat dan sentiasa tunduk.
Perut sudah terasa lapar. Jarum jam menunjukkan pukul 9 malam tepat. Suasana shopping complex itu memang lengang, mungkin orang ramai sudah beransur pulang. Kami menuju ke arah premis KFC. Orang ramai memenuhi premis tersebut. Kami mengambil keputusan untuk membungkus saja makanan untuk dibawa pulang ke rumah. Aku dan Angah memasuki barisan di mana hampir 30 minit kami menunggu untuk mengambil pesanan. Along dah menghilang entah ke mana.
"Nak ke mana-mana lagi ke?" tanya Along yang entah dari mana. 4 set X-Meal sudah berada dalam tangan. Kami hanya menggeleng. Dah penat nak berjalan. Perut pun tak terisi lagi. Lebih baik balik terus ke rumah. Kami terus mengarahkan kaki ke tempat letak kereta.
"Buat apa kamu masuk ke dalam?" seorang lelaki tua yang sedang membawa cangkul pada bahu datang mendekati kereta kami. Mukanya begitu pucat, badannya agak kurus dan tingginya sama seperti tinggi Along. Matanya tajam memandang kami bertiga. "Sekali lagi aku tanya, buat apa kamu masuk ke dalam?"
Angin kuat menyapa kami berempat. Dingin.
"Kami.. kami jalan-jalan je dalam tu," respon Along penuh hemah. Adab sopan perlu dijaga di hadapan orang tua.
Lelaki tua itu menggeleng perlahan. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tidak lama kemudian, dia meniup pada muka kami bertiga. Dingin. Walaupun angin itu datang dari mulut orang tua itu, tapi angin itu terasa kuat menyapa muka kami. Kami terpaksa menutup mata untuk mengelakkan habuk daripada masuk ke dalam mata.
Angin yang menyapa kami mula perlahan dan beransur hilang. Kami membuka mata. Gelap. Suram. Lelaki tua itu masih berada di hadapan kami dengan pandangannya yang tajam. Suasana di situ berubah. Shopping complex yang pada mulanya terang-benderang kini menjadi gelap. Akar-akar pokok menjalar pada setiap sudut dinding bangunan itu. Terdapat beberapa kesan retakan padanya. Bangunan itu begitu buruk, bagaikan sudah lama terbengkalai. Tempat meletak kereta pula sudah penuh dengan semak.
Kami mula menggigil. Barang-barang yang kami beli sudah menjadi daun kering. Ayam KFC sudah menjadi bangkai ayam yang berlumuran darah.
"Aku Pak Rahim. Sudah lama aku berada di sini. Sudah ramai mangsa yang masuk ke dalam bangunan itu. Sudah ramai yang mati. Mujur aku bertemu kamu semua." Pak Rahim memandang kami dengan renungan yang tajam. Kaki kami bagaikan terkaku. Masih tak dapat nak terima kejadian yang telah berlaku.
"Ke... kenapa kami nampak... bangunan ni..." Along tak dapat nak meneruskan kata-katanya. Aku dapat melihat bibir bawahnya terketar-ketar ketakutan. Muka Angah sudah pucat. Peluh sudah membasahi badan aku. Peluh ketakutan.
Pak Rahim melepaskan keluhan.
"Dulunya bangunan ni diusahakan untuk dijadikan pusat membeli-belah, tapi selepas sahaja bangunan ini hampir siap dibina, terdapat satu kejadian yang tak diingini berlaku. Para pekerja hilang, lesap, entah ke mana. Dipercayai pada zaman dulu, tapak bangunan ini merupakan tempat bersemadinya mangsa-mangsa pembunuhan kejam. Kamu semua mesti tak pernah dengarkan cerita pembunuhan ni?"
Geleng.
"Suatu masa dahulu, terdapat seorang janda cantik datang ke Kampung Cempaka. Namanya Melor. Ramai lelaki yang terpikat akan kecantikannya. Tak lama kemudian, sebuah cerita timbul dan menghangatkan suasana Kampung Cempaka. Seorang demi seorang penduduk Kampung Cempaka hilang tanpa dikesan. Dipercayai bahawa Melor telah membunuh mereka, lalu menanam mereka di sekeliling rumahnya, iaitu tapak bangunan ini sendiri."
Suasana menjadi sunyi sepi.
"Dipercayai juga bahawa Melor mengamalkan ilmu hitam. Sesiapa sahaja yang mendekati rumah Melor akan terbau kemenyan. Pada setiap malam Jumaat, rumahnya gelap. Tiada satu pun lampu yang dipasang. Sehinggalah suatu hari, penduduk kampung menangkap Melor lalu membunuhnya." Pak Rahim tersenyum sinis. "Sumpahannya berjaya."
"Sumpahan apa?" aku memberanikan diri untuk bertanya. Pak Rahim menalakan pandangan tajamnya pada aku.
"Sesiapa sahaja yang mendekati kawasan ini akan hilang tanpa dikesan. Sudah, baliklah kamu ke rumah. Jangan sesekali menjejakkan kaki kamu ke sini semula."
Angguk. Along tanpa berlengah meninggalkan kawasan itu. Aku sempat menoleh belakang, melihat sekujur tubuh yang sedang berdiri berdekatan semak. Dia menggeleng. Kami terus menuju ke rumah pak long.
* * *
Loceng rumah berbunyi. Pak long keluar dari biliknya. Pintu dibuka. Mama dan papa masuk menjengah. Mata mama merah. Begitu juga mata papa. Papa berpelukan dengan pak long.
"Aku minta maaf, Man. Anak-anak kau tak balik sejak malam tadi."
Kami terpegun. Gelap. Hilang.
Sorok. Sembunyi.
Ilaian wanita bergema.
TAMAT
1 comment:
x pham.dyorg dpt balik k x?
Post a Comment