JACK RICE merupakan seorang remaja biasa. Dia berumur 16 tahun, tetapi jika dilihat pada tubuh badannya, dia bukan seperti seorang remaja yang berumur 16 tahun. Jack Rice seorang yang tinggi – malah merupakan pelajar yang tertinggi dalam kelas dan mempunyai tubuh badan yang agak sasa bagi seorang remaja.
Encik
John dan Puan Sally, iaitu ibu bapanya merupakan doktor gigi dan mereka
mempunyai klinik gigi sendiri. Mereka sentiasa sibuk hampir setiap hari
sehinggakan tiada masa untuk meluangkan masa bersama Jack.
Pernah
sekali Jack telah meninggalkan rumah sehingga larut malam kerana tidak tahan
akan hidupnya yang sentiasa berseorangan. Dia tidaklah pergi sejauh mana,
setakat ke rumah rakan baiknya, Mike, tetapi dia langsung tidak memberi satu
notis pun kepada Encik John dan Puan
Sally.
Apa
yang dia tahu, itu bukanlah satu tindakan yang sewajarnya sebagai seorang anak
patut lakukan. Dia mula sedar akan kesilapannya itu selepas ibu bapanya begitu
risaukannya sehinggakan mereka terpaksa melaporkan kepada pihak polis akan
kehilangannya.
Kesilapannya
itu membuatkan ibu bapanya sedar – walaupun sedar hampir tidak sampai sebulan,
kemudian mereka mula sibuk akan pekerjaan masing-masing. Lama kelamaan, Jack
Rice sudah terbiasa akan kesunyiannya itu.
Malah,
Jack Rice menganggap dirinya sebagai seorang remaja biasa, tetapi dia bukanlah
remaja biasa dan dia tidak pernah tahu akan perkara tersebut. Ceritanya bermula
pada satu hari yang hening…
Hari itu bahkan seperti hari-hari biasa bagi
Jack Rice. Dia baru sahaja bangun daripada tidur. Biliknya yang agak luas itu
amat bersepah dengan pelbagai koleksi mainannya
(sememangnya tidak dapat dibayangkan), tambahan pula dengan bau-bauan
masam daripada baju kotornya. Langsir yang menutupi tingkap terus menghalang
cahaya matahari menerangi biliknya.
Jam
yang berada di sisi katilnya ditoleh. Tepat menunjukkan lapan pagi. Hari Sabtu
yang menenangkan. Tidak perlu memikirkan hal sekolah – sekurang-kurangnya buat
sementara waktu. Dia bangun daripada katil lalu menuju ke arah tingkap. Langsir
ditarik ke tepi untuk membenarkan cahaya menerangi bilik.
“Jack!”
Puan Sally memanggil. “Turun cepat! Sarapan bersama kami.”
“Baiklah!”
Pantas
dia menuju ke tingkat bawah. Encik John dan Puan Sally sudah menjamu selera.
Meja tersebut sudah dipenuhi dengan pelbagai makanan seperti roti bakar, jem,
bijiran, susu, dan sebagainya tetapi Jack Rice begitu malas untuk bersarapan
pada waktu pagi lalu dia menuju ke ruang tamu. “Jack, mari sini. Kita makan
sama.”
“Tak
apa. Saya belum lapar.”
“Jack,
mari ke sini sekejap.”
Dengan
rasa malasnya, dia berpatah balik ke dapur untuk bertemu ibunya. “Jack, ibu
dengan ayah ada kerja sedikit pada hari ini. Kamu duduk di rumah, ya? Jaga
rumah. Kemungkinan kami balik lewat malam.”
“Baiklah.
Pastikan ibu tinggalkan saya duit. Mana tahu saya nak beli makanan ringan di
luar.” Tanpa berlengah, dia terus ke ruang tamu. Televisyen yang sedari sudah
terbuka menayangkan filem Peter Pan.
“Jack,
kami pergi dulu. Selamat tinggal.”
“Selamat
tinggal. Hati-hati ayah, ibu!”
“Duit
itu kami letak di sini,” Jack terus menoleh. Puan Sally sudah meletakkan not
RM10 berdekatan dengan pasu bunga yang terletak pada almari kecil berhampiran
pintu utama.
“Terima
kasih.”
“Sama-sama.
Ingat, jaga rumah. Pastikan pintu berkunci.” Encik John dan Puan Sally terus
keluar dari rumah tanpa berlengah.
“Okey.”
Kedengaran
deruman enjin kereta beransur pergi. Semakin lama semakin perlahan deruman
tersebut. Sepatutnya klinik gigi tersebut patut ditutup pada hari Sabtu, tetapi
pada hari Sabtulah mereka bekerja dan Jack tidak pernah tahu kerja apa yang
Encik John dan Puan Sally lakukan sehingga tiada masa untuk berada di rumah.
Begitulah
rutin harian Jack. Tidak pernah berasa bersama ibu dan ayahnya. Malah dia sudah
terbiasa akan keadaan tersebut. Walau bagaimanapun, kehidupannya sudah cukup
dilimpahi dengan kemewahan. Dengan gajetnya seperti kamera DSLR, telefon bimbit
termahal, alat permainan, komputer riba, semua itu sudah cukup untuk dia
bersendirian.
“Semasa
ketiadaan kami, bolehlah kamu memanfaatkan barang-barang yang kami beli ini.”
Nasihat Puan Sally terngiang-ngiang dalam kepala Jack. Dia hanya mampu
menggeleng. Hatinya meronta.
Bukan
barangan tersebut yang dia inginkan. Dia inginkan kasih sayang daripada seorang
ibu dan ayah. Ibu bapa yang akan bertanyakan tentang keputusan peperiksaan di
sekolah, ibu bapa yang sentiasa memarahinya jika dia melakukan kesalahan, dan
dia ingin berasa bagaimana menjadi seorang remaja yang beribu dan berbapa!
Sekali
lagi dia menggeleng. Tidak tahu bila perkara tersebut akan berlaku. Nasibnya
baik kerana mempunyai seorang rakan yang sentiasa menyokongnya dari belakang
iaitu Mike. Walaupun perangai mereka tidak ubah seperti kanak-kanak, perkara
tersebutlah yang mengeratkan persahabatan mereka.
Melihatkan
jam seperti tidak bergerak itu, pantas dia mengambil telefon bimbitnya yang
berada di atas meja pada ruang tamu itu lalu mencari nombor telefon Mike. Hari
Sabtu, sepatutnya Mike sudah berada di rumahnya. Dia menunggu panggilan di sana untuk menjawab.
“Hello.
Mike?”
“Bukan.
Ini Julie, adik dia. Siapa ni?”
“Err,
saya Jake, kawan dia. Mike ada? Saya nak bercakap dengan dia sekejap.”
“Sebentar.”
Hampir
satu minit dia menunggu untuk panggilan di sana memberi respon semula.
“Maaf
ya. Abang tak sihat. Nak bangun berdiri pun dah susah.”
“Tak
sihat? Hmm, okey.”
Panggilan
di sana terus dimatikan.
Hanya deringan telefon yang panjang sahaja berbunyi. Jack mengerutkan dahi.
Adik Mike, iaitu Julie, merupakan seorang anak kecil yang begitu comel sekali.
Jika
dilihat penampilan Julie, pasti ramai yang akan terpikat dan tercuit hati akan
kelakuannya. Walau bagaimanapun, itu hanya luaran sahaja. Julie merupakan
seorang anak kecil yang suka memberontak. Pernah sekali dia telah memukul Jack
dengan menggunakan kerusi mainannya kerana terlalu bosan.
“Dia
juga pernah menggigit tangan ayah kerana ayah tidak membelikan dia mainan.”
Mike berbisik padanya. Jack membesarkan matanya kerana begitu terkejut akan
kelakuan Julie yang dianggapnya begitu comel sewaktu pertama kali berjumpa.
Selepas
kejadian tersebut, Jack tidak berani lagi untuk datang ke rumah Mike. Hanya
Mike sahaja yang rajin untuk ke rumahnya.
Jack
terus melangkahkan kaki untuk naik ke tingkat atas untuk membersihkan diri.
Loceng rumah tiba-tiba berbunyi. Dia berpatah balik ke pintu rumahnya yang
betul-betul berhadapan dengan tangga rumah. Jack berkesempatan untuk menjeling
jam dinding. Jarum menunjukkan 9.05 pagi. Dia terus membuka pintu tanpa melihat
tingkap. Mungkin Mike yang datang.
“Hello.”
Seorang lelaki berjubah hitam yang menutupi keseluruhan badannya berada di
hadapan Jack. Tingginya sama seperti Jack, cuma lelaki tersebut lagi kurus
daripada Jack. Suaranya begitu garau sehinggakan Jack ketakutan. Badannya
menggigil. Terlalu takut akan suara garau lelaki tersebut.
Pantas
dia menutup pintu. Dadanya turun naik dengan laju sekali. Degupan jantungnya
sudah tidak menentu. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk mengembalikan jantung
berdegup secara normal. Lama kelamaan, keadaan mula senyap sunyi.
Jack
mula melangkahkan kakinya ke arah tingkap untuk melihat lelaki berjubah hitam
tersebut. Lelaki tersebut sudah hilang! Jack mula menarik nafas lega. Entah
mengapa dia begitu gementar melihat lelaki tersebut.
“Tuan
Jack?” lelaki tersebut sudah berada di hadapannya. Degupan jantung Jack mula
berdegup pantas tidak menentu. Lelaki itu sudah berada di hadapannya! Degupan
jantungnya membuatkan dia berasa begitu penat. Dunia menjadi kabur dan beransur
gelap…
JACK RICE perlahan-lahan membuka matanya yang terasa berat itu.
Kepalanya terasa berpusing, terlalu pening. Sedaya upaya dia menggagahkan
badannya untuk duduk di atas sofa tersebut. Kepalanya diteleng ke kiri dan ke
kanan untuk melihat keadaan rumahnya.
Tiada
lagi lelaki berjubah hitam itu. Dia menggelengkan kepalanya perlahan untuk
menghilangkan rasa pening tersebut. Kemungkinan dia baru sahaja bermimpi.
Pantas
Jack melangkahkan kakinya untuk ke tingkat atas, baring di dalam bilik buat
sementara waktu. Dia membuka pintu biliknya. Bilik yang seawalnya bersepah seperti
tong sampah itu kini sudah bersih. Jack menggosok matanya, mana tahu jika dia
tersilap pandang.
“Tuan
Jack! Saya begitu rimas melihat bilik tuan yang bersepah tu. Saya baru saja
mengemaskan bilik tuan.”
Lelaki
berjubah hitam itu berada di belakang Jack sambil menepuk-nepuk bahunya. Dia
tersenyum melihat Jack. Jack seperti diserang asma, pernafasannya semakin tidak
betul kerana gerun melihat lelaki berjubah hitam itu. Tiba-tiba dia merasakan
angin sepoi-sepoi bahasa hinggap di mukanya.
Pernafasannya
kembali normal. Lelaki berjubah hitam itu sudah tersenyum melihat Jack. Dia
membuka jubah hitamnya. “Panas betul di sini. Dan maafkan saya kerana takutkan
tuan. Saya tidak berniat pun.”
Jack
masih lagi terkedu walaupun pernafasannya sudah stabil. “Siapa awak?” soalan
itu yang terpacul keluar dari mulutnya.
“Saya
Walt dan saya merupakan salah seorang rakyat Kota Dawani,” dia memberi respon
sambil tersenyum.
Jack
masih ragu-ragu. “Saya bermimpi?”
Kali
ini dia betul-betul melihat Walt. Rambutnya yang menutupi dahi itu sememangnya
mengikut fesyen terkini. Mukanya putih kemerahan. Pakaiannya berwarna oren dan
memakai seluar jeans. Tingginya lebih kurang sama dengan Jack.
“Tuan,
saya nak katakan sesuatu,” riak muka Walt yang daripada tadi tersenyum berubah
kepada muram.
“Apa
dia?” tanya Jack sambil perlahan-lahan menuruni anak tangga. Walt menyusul.
“Saya
diarahkan untuk membawa tuan ke Kota Dawani.”
No comments:
Post a Comment